Monday, May 20, 2013

Jatuh Cinta...Lagi? Bab 3

Jemput baca semua. Jangan lupa tinggalkan komen ya.



                Sungguh, inilah pertama kali dalam hidup Ian Hanif dia merenung skrin telefon banyak kali sejak dua minggu yang lalu. Hilang lagi Hanna. Asyik nak lari sahaja daripada dia. Dia ada buat salah ke? Tak faham. Dan yang paling dia tak faham, adalah dengan diri dia sendiri.
                Penipu betul Hanna ni, janji nak call, tapi haram tak telefon pun. Ian merungut sendirian. Skrin telefon dijenguk lagi. Lepas kejadian dia pengsan tempoh hari, Ian kembali berhati-hati apabila menaiki lif. Ingatkan tempoh tujuh tahun sudah cukup untuk menghilangkan rasa tersebut, namun dia tersilap perhitungan. Rasa itu masih ada. Tak pernah hilang. Mengingatkan perkara itu tubuhnya menggigil sedikit. Hmm… Ian mengeluh pula. Susahlah macam ni.
                Umur dia dah masuk 31. Tapi satu kawan perempuan spesel pun dia tak ada. Yang dia ada sekarang ini lebih kepada suka-suka. Untuk mengisi masa lapang. Namun untuk dipanjangkan menjadi peneman hidup, isteri, Ian kena fikir panjang dan sebenarnya tak perlu fikir panjang pun, cukup sekali kelip mata sahaja, jawapan dia tak. Dia tidak mahu.
Bukan menolak sunnah atau menolak fitrah, dia tak mahu fikir dan entah, dia lebih suka hidup sendiri buat masa ini. Menyebutnya sahaja membuatkan jantung berdegup laju. Dahi bermandi peluh. Menyebabkan bibir jadi pucat lesi.
Jadi Ian ambil jalan paling mudah. Tak payah fikir. Lagi seronok hidup macam ni. Bila kena memikirkan akan ‘perkara’ itu Ian akan cepat-cepat menyibukkan diri. Cukuplah pengalaman ngeri itu sekali. No?  Tiga kali sebenarnya. Campur yang baru-baru ini cukup jadi tiga. Dan ketiga-tiganya juga dia rebah ke bumi. FOBIA dia seumur hidup.
                Ian mengusap wajah. Rasa penat tiba-tiba.
                “Ian belum sedia papa. Nanti Ian kahwinlah!” itu jawapan Ian setiap kali papanya Iskandar Hanif bertanya. Papa ni, mintak cucu pada dia pula. Bukannya tak ada. Sudah ada tiga orang pun daripada abang dan adiknya. Nak jugak daripada dia.
                “Papa tak sukalah Ian main-mainkan perempuan. Ian berkenan yang mana? Biar papa masuk meminang!” tegur Iskandar.
                “Pa?!!!” panjang jawab Ian. Dia malas hendak bertegang urat dengan papanya hari ini. Jawapan dia tetap sama. Tunggu dan lihat. Belum masanya lagi.
                “…atau Ian ada sembunyikan sesuatu daripada papa?” Iskandar merenung Ian Hanif yang sedang duduk berhadapan dengannya. Renungan papanya membuatkan Ian tertawa. Faham maksud renungan tersebut. Sejak mama tak ada ni, Iskandar semakin rapat dengan dia dan adik beradik. Sifat ingin tahu papanya lebih daripada sikap mama.
                “Papa… Ian masih waras lagi. Nabi tak mengaku umat tau kalau Ian buat macam tu!” jelas Ian apabila reda tawanya.
                “Habis tu, papa suruh kahwin kenapa Ian tak nak? Bukannya papa tak restu Ian nak pada sesiapa pun. Siapa pun pilihan Ian, papa tak ada halangan. Papa terima sahaja!” susah benar Ian apabila bercakap fasal rumahtangga.
Sama susahnya kalau hendak diheret ke klinik atau ke hospital. Ian lebih rela duduk bertapa di dalam bilik. Sampaikan, dia terpaksa jemput doktor datang ke rumah untuk merawat budak degil ini. Semakin menjadi-jadi pula tu tahap kedegilannya sejak kebelakangan ini. Susah sungguh hendak dipujuk. Dalam kepala tu ada batu agaknya. Iskandar mengeluh berat.
                Ian senyum sambil lidah bermain dengan gigi. Senyuman bermakna. Keningnya terangkat sebelah. Namun belum sempat Ian membuka mulut, Iskandar terlebih dahulu memotong.
                “…tapi bukan dengan mereka-mereka yang tak cukup kain tu Ian. Yang itu… I resent, I object, I don’t want any of them to be my daughter in law. Mintak dijauhkan.” Iskandar bersuara siap dengan gaya dan mimik muka lagi.
                Ian ketawa sampai senak perut. Dia tak pernah tahu, sampai begitu sekali papanya tidak suka dengan kawan yang dia sedia ada. Siap dengan amaran sekali.
                I’m not joking Ian.” Marah Iskandar apabila anaknya tetawa seperti itu. Jari telunjuk diarahkan kepada Ian yang mengesat air mata. Itulah ketawa tak ingat dunia. Ketawa pada ayah sendiri pula tu.
                “Okey papa. Nanti kalau Ian bawa mereka datang sini, Ian suruh mereka pakai decent sikit. Nanti bolehlah papa approved.” Ian angguk sedikit.
                “Ian…” panggil Iskandar. Dia belum habis membebel lagi.
                “Papa kahwin baru je lah. Dapat jugak  mama baru and maybe new additional brother or sister!” selamba sahaja Ian mencadangkan Iskandar supaya kahwin baru. Keluarga mereka kecil sahaja. Dan Ian sebagai anak tengah kadang-kadang rasa sunyi menjengah jiwa. Bila tengok abang dan adiknya, dia teringin nak ada famili sendiri tapi apabila mengenangkan ‘hal’ itu dia jadi pengecut. Jadi tidak berani.
                “Hisy… susahlah cakap dengan Ian ni. Mama adalah cinta hati papa. Belum pernah terfikir atau terniat untuk orang lain gantikan tempat mama. She’s the love of my life.” Iskandar bercakap seolah-olah isterinya masih ada menemaninya melewati usia senja. Pada penghujung ayat suara itu direndahkan.
Matanya merenung jauh apabila teringat akan arwah isterinya itu. Namun, sudah sampai ajalnya, mama Ian meninggal dalam pangkuan selepas solat subuh bersama. Tidak ada sakit atau penyakit teruk yang sekurang-kurangnya dia boleh bersedia untuk itu. Mama Ian hanya mengadu sakit kepala kepadanya sebelum Allah mengambil kembali hak-Nya yang dipinjamkan kepadanya selama 35 tahun. Dia reda. Kematian itu pasti. Dia juga menanti tarikh yang belum tahu itu.
“Ian mintak maaf pa…Ian tak bermaksud nak…” Iskandar menggoyangkan-goyangkan tangannya tanda dia tidak ambil hati atau ambil kisah. Dia kisahkan Ian. Dia risaukan Ian. Hanya Ian tinggal sendiri.
Serba salah Ian dibuatnya. Dia tahu papanya risaukan dirinya. Tapi nak buat macam mana. Dia nak, tapi dia takut.  Siapa agaknya yang boleh menghilangkan rasa takut itu? Satu keluhan tanpa bunyi dikeluarkan.
“Papa doakan supaya anak papa yang hensem, yang baik hati ni, bertemu dengan jodoh yang baik. Perempuan yang diciptakan, hanya untuk Ian. Bukan untuk orang lain.” Iskandar bangun dan dahi Ian selepas itu dicium dan dia berlalu. Tidak mahu memanjang-manjangkan perkara ini.
I’ll think about it papa. No worries okay?” Ian bersuara sendiri.  Kemudian dahinya disentuh. Sudah lama papa tak cium dahi dia. Ian buat janji pada sesuatu yang tidak pasti akan ditunaikan. Kemudian dia tersengih. Papa kata dia lawa dan baik. Besarnya hati ini apabila menerima pujian. Seronok.
Lamunan Ian terhenti apabila telefonnya menjerit minta diangkat. Berkerut dahinya apabila nombor tidak dikenali itu. Kacau orang tengah melamun. Dibiarkannya sahaja. Lantaklah, nanti diamlah telefon tu. Tapi orang yang sedang menghubunginya tersangatlah rajin dan tidak kenal erti putus asa. Malasnya nak jawab. Tukasnya.
Akhirnya Ian kumpul nafas sebab dah tahan bunyi bising dan…tak sempat jawab helo.
“Ha…jawab pun. Ingatkan pergi mana. Simpan nombor aku ni…yang kau duduk termenung kat ofis tu buat apa? Tak kan habisnya kerja tu. Jom pergi lunch. Aku lapar ni. Aku belanja tapi kau bayar…Cepat sikit turun.” terdengar tawa kecil di hujung talian.
Terkebil-kebil Ian dibuatnya. Siapa agaknya dia ni? Tapi yang musykilnya boleh pulak  tahu dia termenung. Ian menjenguk luar pejabat dan kemudian melihat jam tangannya. Sudah pukul 1.15 petang. Memang waktu makan tengah hari.
“Eh… siapa ni?” akhirnya Ian bertanya juga apabila orang dihujung talian berhenti seketika. Agaknya dia ni spesis Joyah kut. Tak berhenti-henti bercakap daripada tadi. Suka hati dia sahaja terjah macam tu. Salah orang kut dia ni.
“Err…” Ian baru nak keluar sepatah.
“Kau ni lapar ke tak? Perut aku dah berbunyi dah ni!”
“Kau ni siapa?” ha…kan dah tinggi sikit suara Ian. Perempuan apa macam ni? Cakap kasar gila. Dia pun tak pernah layan perempuan macam ni kecuali… Ian tepuk dahi.
“Hanna?...kau eh?” ada senyuman dalam pertanyaannya.
Hanya ketawa yang dia dengar. Macam sedap pula bunyi perempuan ni ketawa.
“Aku tunggu kau kat bawah ni. Aku nak makan steak. Kalau kau lambat dengan kau-kau sekali aku telan. ” Tidak mengiakan atau menidakkan talian terus terputus.
“Eh?...la dah putus! Hmm…” dia tengok skrin telefon yang sudah gelap. Ian pasti yang tadi tu adalah Hanna. Hanna sahaja yang akan layan dia begitu. Tapi macam mana dia tahu nombor telefon dia? Musykil. Hanna selalu muncul di saat tidak terduga. Sejak bila Hanna jadi misteri seperti ini.
Tidak tunggu lama, Ian capai dompet dan bergegas turun dan ugutan Hanna itu pun tidak patut di ambil ringan. Dulu, lengan Ian pernah kena gigit semata-mata kerana Hanna laparkan nasi ayam.  Hanna kata, dia tunggu lama sangat jadi Ian memang patut kena gigit sebagai ganti ayam tersebut. Gila perempuan bernama Hanna ini. Dan bekas gigitan itu berbekas selama dua hari.
Ian berlari tidak sabar. Senyuman panjang mengekori dia sepanjang perjalanan turun itu.
Oh Hanna…

Thursday, May 16, 2013

Jatuh Cinta...Lagi? Bab 2

Dua n3 sekali masuk.. jemput baca semua.



 Jatuh Cinta...Lagi?
Bab 2
            Hanna menunggu dengan sabar sampai lelaki itu buka mata. Harus dia akan mengusik Ian apabila dia bangun nanti atau bila-bila masa yang dia rasa perlu. Haha!
            Lelaki maco seantero dunia ini rebah dekat kaki dia. Hehe! Mana mahu lari Ian? Takkan ku lupakan saat-saat berharga seperti ini. Hanna mengeluarkan telefon bimbitnya dan mengambil beberapa keping gambar untuk kenangan atau juga untuk blackmail Ian Hanif nanti. Lagi sekali Hanna tertawa kecil.
            Hanna tarik kerusi mendekat dengan katil Ian. Tak sedar-sedar daripada tadi! Lama betul pengsan! Tukasnya. Dia geleng kepala.
            Hanna ambil kesempatan untuk melihat wajah lelaki yang tenang berehat itu. Tak pernah tengok daripada dekat pun. Dia rasa ingin tahu apa yang perempuan-perempuan selalu tengok pada lelaki bernama Ian Hanif ini. Kalau Ian tahu ni, harus dia kena sembelih. Argh! Lantaklah. Bukannya Ian tahu pun. Hanna mukanya rapat pada wajah lelaki itu.
            Hehe! Dia terus tutup mulut. Hendak ketawa. Bulu mata macam bulu mata perempuan! Panjang dan lentik. Padanlah mata dia nampak besar. Kalau letak maskara tentu lagi bulat mata dia. Kening dia lebat. Hidung dia sederhana mancung. Bibir dia… nak cium boleh?
            Erk!... Hanna! Bukan main lagi anak dara seorang ini! Satu suara sudah beri amaran pada dia. Jangan nak menggatal kat sini ya. Hanna rasa nak tampar-tampar diri sendiri. Tapi serius, Hanna rasa nak bawa balik sahaja mamat seorang ni. Kunci dia dalam rumah. Tak bagi keluar.
            Kalaulah Ian tahu…
            Hmm… namun kemudiannya satu nafas kasar berupa keluhan dilepaskan. Dia bangun menuju ke tingkap. Memerhatikan dedaun pokok yang bergerak-gerak ditiup angin pagi.
            Ian menggerakkan kepalanya. Kelip-kelip mata. Memerhatikan keadaan sekeliling. Pelik. Tadi bukan aku on the way nak pergi ofis ke? Dia memerlukan beberapa saat sebelum semuanya klik pada yang asal.
            “Ohh!” Ian mengerang sambil pegang kepala. Kepalanya dihenyakkan kembali ke atas bantal. Dia dah ingat.
Habis merudumlah saham dia lepas ni. Ni semua fasal perempuan dua orang tulah. Yang naik sama dengan aku tu buat apa? Sempat dia merungut. Membebel sendirian. Ni bila pulak boleh keluar? Haish!
Tak tahulah lepas ni nak letak muka kat mana. Rasa macam nak ambil beg kertas, tebuk dua lubang untuk biji mata sahaja. Pakai untuk seminggu. Urgh! Sekali lagi dia mengeluh.
Matanya kemudian tertancap pada seorang perempuan yang sedang membelakanginya. Berkerut mukanya. Nak kata jururawat dia pakai baju biasa dan sedang dia duduk berfikir-fikir itu wanita itu berpaling dan dia terus bulat mata.
Good morning Ian!” Hanna tersenyum pada kejutan yang jelas di wajah lelaki tersebut. Tapi tak tahulah kalau Ian Hanif ini ingat rupa dia ke tidak.
            “Hanna?...” perlahan suara itu keluar. Bagai tidak percaya. Dia rindu teramat pada wanita dihadapannya. Namun wanita ini menghilangkan dirinya sejak dua tahun yang lalu dan kali ini tiba-tiba sahaja wanita ini berada satu bilik dengannya. Dalam wad pulak tu.
“Hanna!” kali kedua nama itu meniti di bibir terus dijeritnya nama tersebut. Hanna pegang telinga. Gila kuat dia menjerit. Tak ingat ini hospital ke apa? Siap depang dua-dua tangan lagi. Nak peluk? Orang lain boleh. Dengan dia… sorry naik lori.
“… Kau ke tu?...Wei…kau buat apa kat sini beb? Asal kau nampak lain?” terlupa sebentar Ian dia berada di mana. Teruja sebenarnya apabila berjumpa semula dengan teman lamanya. Dia menjatuhkan tangannya semula.
“Tahulah excited jumpa aku. Tapi tak payahlah jerit sampai macam tu sekali! Cair tahi telinga aku.” marah Hanna pula. Dia menghampiri Ian yang sudah duduk bersandar itu. Wajah yang pucat lesi tadi sudah kembali merah.
“Wei, kau pergi mana? Aku rindu dengan kau tahu tak?”
“Eleh! Rindu konon. Tak ada maknanya kau dengan rindu dengan aku.” Tukas Hanna kembali.
“Habis…kau tak rindu kat akulah ya?” ada nada tidak senang pada suaranya.
“Kau hutang baju dengan aku!” Hanna tidak menjawab. Malas nak menjawab. Malah dia tuntut hutang pula pada lelaki itu.
“Bila masa…”
“Dahlah muntah dekat aku. Masam pulak tu. Hisy… Suka-suka hati kau je nak landing kat badan orang. Sakit punggung aku ni tahu tak! urgh!  Busuk!!!” marah Hanna. Sesekali bau masam muntah Ian yang hanya sempat dibasuh dengan air itu menjengah hidung. Macam nak loya dibuatnya.
“Ha?....ohh…kau ke perempuan tadi. Padanlah badan aku tak sakit. Jatuh atas tilam rupanya.” Hanna dah buat gaya penumbuk dah belasah Ian, Ian pula hadang muka dengan tangan. Serius tak sangka, perempuan yang sambut dia tadi adalah sahabat dia sendiri.
Ian sengih-sengih.
“Nak ganti ke tak baju aku ni?”
Ian sekadar mencemik. “Eleh! Baju takat RM 60-70 tu pun nak kecoh. Basuh jelah. Bukannya susah pun.”  Ha…inilah Ian Hanif, semua benda dia ambil mudah. Perasaan orang tak reti nak jaga langsung.
Terangkat kening kanan Hanna. Mendekat pada Ian Hanif yang sedang bersandar itu. Hanna pegang cadar. Sambil senyum-senyum.
“Kau tak nak gantilah ni ya? Ian?”
Ian angkat bahu.
“…tak nak ganti tak apa.” Dengan sekuat tenaga Hanna tarik cadar sehingga Ian hampir tergolek ke lantai. Mujur dia sempat pegang kepala katil.
Uit! Berat gila dia ni. Macam anak gajah. Termengah-mengah Hanna dibuatnya.
“Kau ni gila ke Hanna!” terkejut Ian dibuatnya. Cepat-cepat memberatkan badannya agar Hanna tidak boleh menatuhkan dia semula.
“Haah… aku gila bila dekat dengan kau je…. Dahlah aku nak balik! Buang masa je layan kau.” Hanna terus berlalu meninggalkan Ian yang terpinga-pinga dengan perangai Hanna sebentar tadi. Baharu sahaja jumpa dah buat perangai gila dia.
“Wei…macam mana nak contact kau?” laung Ian.
“Tunggu je…” Dan Hanna terus menghilang.
Ian pula masih pandang pintu walaupun Hanna sudah tiada di dalam bilik tersebut. Terkebil-kebil dia memikirkan apa yang berlainan benar dengan Hanna kali ini. Sekali lagi Ian membulatkan matanya apabila dia sedar sesuatu. Patutlah Hanna nampak lain. Patutlah Hanna tak layan masa dia depang tangan nak peluk wanita itu tadi. Dia sahaja yang lebih-lebih.
Ya…Ian mengangguk-angguk perlahan. Rambut Hanna yang panjang mengurai itu sudah tersimpan rapi dalam sehelai selendang yang elok dirapikan pada kepalanya. Entahkan panjang, entahkan tidak. Dia tidak tahu. Dulu-dulu, dia selalu menarik rambut Hanna yang panjang itu.
Ian pegang dada kiri. Tiba-tiba dia jadi rindu.


Jatuh Cinta...Lagi? Bab 1

Salam semua, kali ini nak masuk n3 baru pula. sebuah kisah baru. Harap-harap kamu semua suka. dan sila beri komen ya. thank u



Jatuh Cinta...Lagi?

Bab 1
            Ian Hanif menekan butang lif angka 16. Dia berundur setapak ke belakang. Menjadikan dinding lif sebagai cermin, dia membetul-betulkan tali lehernya yang sedikit senget. Hmm… Bagus. Lif ini hanya dia seorang sahaja. Melihat jam tangannya. Jam 7.30 pagi. Masih awal lagi.
            Kemudian, kedua-dua tangannya memegang tangkai briefcase. Menunggu lif membawanya ke destinasi. Kaki kanannya di hentak perlahan-lahan mengikut irama lagu yang sedang dinyanyikan olehnya.
            ‘Ajari aku untuk bisa,
            Menjadi yang engkau cinta,
Agar ku bisa memiliki rasa,
Yang luar biasa untuk ku dan untuk mu,
Kuharap engkau mengerti,
 Akan semua yang ku pinta
Kerna kau cahaya hidupku, Malam ku
Untuk terangi jalanku yang berliku
Hanya engkau…’
Ting… Pintu lif terbuka pada tingkat tiga pada ketika dia hendak tarik suara pada korus lagu tersebut. Potong betullah!
Menyedari keadaan itu, Ian berhenti menyanyi. Berdeham, membetul-betulkan suaranya. Menegakkan postur berdiri. Kena maco beb. Takkan nak bagi orang dengar dia menyanyi lagu jiwang pulakkan. Dia menunggu gerangan yang menunggu kotak bergerak itu tadi untuk masuk.
Ian terus telan airliur tatkala menyedari siapa yang masuk ke dalam lif tersebut. Spontan dia bersandar terus pada dinding lif. Tali leher yang kemas tadi kini terasa mencekik leher. Lantas segera dilonggarkan.
Udara yang disedut terasa tidak mencukupi untuk paru-parunya. Terasa tercecik. Rasa sesak nafas tiba-tiba. Tangannya terus berpeluh sejuk.
 Tidak! Tak mungkin. Ini tak mungkin berlaku. Otaknya menafikan apa yang dihadapannya. Renek peluh mula terbentuk di dahi. Ian betul-betul rasa tidak sihat sekarang ini. Apatah lagi apabila melihat jari itu menekan butang 20. Mereka akan bersama-sama sehingga dia sampai ke pejabatnya. Oh Tuhan! Matilah aku macam ni! Air liur di telan terasa pahit.
Ian terus pejam mata.
Dia mungkin boleh tahan jika hanya seorang, tapi ini melebihi daripada apa yang dia mampu tangani. Perutnya rasa bergelodak tiba-tiba. Hendak termuntah di situ juga. Malah, rasa itu sudah sampai ke ruang tekak. Dia cuba tarik nafas panjang. Urgh! Tak boleh! Tak boleh! Ian tekup mulut. Tahan Ian, tahan! Suara hatinya cuba menguatkan fizikal tuannya.
“Encik tak sihat ke?” suara halus perempuan itu menerjah gegendang telinga.
“Encik?!!”
Ian buka mata. Bulat terus matanya apabila menyedari kedua-dua perempuan itu sedang memerhatikannya dengan wajah pelik. Terus tubuh Ian rasa panas. Dia hiperventilasi. Dia perlu segera keluar daripada situasi ini.
Tanpa diperdulikan suara dan wajah kerisauan mereka, Ian terus memicit mana-mana butang lif. Tak kisah. Janji dia dapat keluar daripada situasi yang menyebabkan tenaganya berada terus pada tahap zero.
            Ting!... lif terbuka pada tingkat 10. Ian terus meluru keluar dan semua isi perutnya terus terhambur keluar pada seseorang. Ketul-ketul makanan yang hampir tercerna itu keluar daripada mulutnya. Sarapan paginya iaitu roti bakar dan jus oren yang sudah bercampur di dalam perut bersama jus asid habis melekat pada dada yang Ian tidak tahu siapa.   
            Sempat dia berpaut pada lengan seseorang sebelum dia membawa orang yang dipautnya itu sama rebah ke lantai. Buk! Ian terus jatuh! Jatuh pada sesuatu yang lembut. Dia pengsan.
            Dan seseorang itu, terjerit sama apabila punggungnya terhentak pada lantai marmar. Segera dia bingkas membetulkan tubuh yang menghempapnya tadi. Bau masam segera terhidu namun dia tidak pedulikan itu semua. Dia terkejut buat kali kedua.
            “Ian?”

Tuesday, May 14, 2013

Kalau Jodoh Tak Ke Mana MIni Siri 9

Tinggalkan komen ya. thank u.

Kalau Jodoh Tak Ke Mana Mini Siri 9

Sara menggosok-gosok mata. Dengan mata terpejam dia mencari Ameer. Ameer tiada di sisi. Lantas matanya dibuka. Membetulkan duduknya dengan payah, Sara mengecilkan matanya mencari. Kemudian dia menguap. Tahu di mana lelaki itu berada. Sara pandang hujung katil.

Tersenyum manis dia. Suaminya baharu sahaja selesai menunaikan solat sunat Tahajud dan Hajat. Tapi hairan juga kenapa Ameer tidak mengejutkannya seperti selalu.

Suara Ameer perlahan sahaja membaca ayat suci Al-Quran. Sayu sahaja hatinya diperdengarkan dengan suara Ameer yang mendayu-dayu itu. Sara sentuh dada kiri. Tersentuh jiwanya walaupun dia tidak faham sangat dengan maksud bacaan tersebut. Yang dia faham tunaikanlah zakat. Maksud bacaan yang Ameer sedang baca sekarang. Itu sahaja. Dia kena tengok terjemahan selepas ini. Tak pun minta Ameer tolong terangkan.

Suaminya itu sudah mengulang bacaannya daripada mula. Sejak menjadi isteri lelaki ini, sudah dua kali Ameer khatam. Dia sendiri pun kadang-kadang sahaja membacanya. Itu yang Ameer selalu tegur. Sara pula bila Ameer tegur barulah nak teringat. Dia amat bersyukur dianugerahkan lelaki sebaik Ameer Hakimi.

Sungguhlah Ameer selalu mengulang cerita mengenai ketaatan dan kepatuhan seorang isteri, cara hidup seorang Muslim serta Ameer selalu cakap kena saling ingat mengingat antara satu sama lain kerana manusia ini sifatnya pelupa. Dan Sara sangat suka menyampuk bertanya itu dan ini kepada lelaki tersebut. Sabar sahaja Ameer melayan semua soalan.

Adakalanya Ameer suka bercerita kisah-kisah di dalamnya dengan gayanya yang tersendiri. Kadang-kadang Sara menjadi terlalu takut sampai menangis apabila Ameer bercerita mengenai hari pembalasan. Apakah amalan yang sudah dibuat bagi menghadap Dia Yang Satu nanti? Mengenangkan itu, berjurai-jurai air mata Sara dibuatnya.

Ameer seperti biasalah bila Sara menangis, mesti dia peluk dan cium dahi kemudian dia akan ketawa kuat-kuat. Benci! Ameer suka tengok Sara begitu. Dah buat orang menangis dia boleh gelak-gelak pula. Balasannya Sara tolak bahu Ameer. Suka benar menyakat dia.

“Yang sayang Han menangis sampai tersedu-sedu tu kenapa? Sedih sangat ke cerita Han ni?”

“Bukan sedih…” ha tengok sampai tersedu-sedu hendak bersuara. Sara lap pipi dengan belakang tangan. Ameer senyum. Aduhai isteriku! Sensitif benar orangnya. Dia peluk tubuh. Hendak dengar penerangan Sara.

“…Sa… Sara takut dengar cerita husband!”

“Takut?”

“Ya lah! Macamlah Han tak tahu gambaran dekat sana nanti bagaimana. Sudahlah penghuninya ramai dikalangan kaum Sara ni! Takutnya.” Sara pejam mata. Ngeri.

Sara terasa kedua-dua tangannya dipegang. Lama Ameer merenungnya. Sara hanya kelip mata. Faham dengan renungan Ameer itu.

“Orang perempuan macam wife ni, lagi senang nak duduk di syurga tau. Buat semua yang Allah suruh buat, tinggalkan apa yang dilarang, ikut cakap mak ayah kalau dia belum berkahwin lagi dan taat pada suami. Entah-entah tak perlu hisab pun. Masuk je terus daripada mana-mana pintu yang dia nak!”

“Oh! Macam tu ya Han? Bestnya jadi perempuan.” Sara teruja.

“Ya sayang!” panjang jawapannya. Ameer geleng kepala. Sekejap sahaja sudah ceria wajah itu. Hidung Sara dicuit perlahan.

“Sara layan Han baik tak? Han ada rasa nak kompelin ke?” tiba-tiba sahaja Sara ingin tahu.

“Hmm…” Ameer berjeda. Sara pula tidak sabar-sabar menunggu jawapan suaminya itu.

“Cepatlah Han!” gesa Sara.

“Jawapan dia tak!” itu sahaja penerangan Ameer. Tiga huruf tu sahaja Ameer nak cakap. Ameer sembunyikan rasa hendak ketawa.

Sara terpempan. Kalau Han tak nak kompelin maknanya layanan dia pada Ameer belum cukup baguslah kan? Ala!

“Tak? Maksud Han…Hmm…layanan Sara belum cukup bagus lagi ya?” perlahan suara Sara. Suara hendak menangis.

Ameer geleng lagi. Sengaja nak dera perasaan Sara sekejap. Tengok tu, macam ada yang nak hujan sahaja ni.

“Han nak Sara buat macam mana?” bersungguh ingin tahu. Ingin menyenangkan lelaki itu. Ya Allah! Rupa-rupanya masih ada kekurangan dalam layanannya.

“Aduhai isteriku ini. Cepat benar terusik emosinya.” Satu nafas panjang dihembus keluar. Mana mungkin dia tidak mencintai wanita di hadapannya. Sara sentiasa meletakkan dirinya di depan. Mendahului kehendak dirinya sendiri.

“…Bila Han kata tak, maksudnya...layanan isteri Han ni bukan setakat baik je. First class in the world. The best! So I don’t have any complaint. You make me the happiest man in the whole universe. Kadang-kadang tu Han terfikir juga…are you for real? Dan sayang yang Sara berikan itu benar-benar memenuhi jiwa Han ni! Ameer tepuk dada perlahan.

Amboi seriusnya muka. Sara senyum. Kata-kata Ameer menyenangkan hatinya.

Tiba-tiba Ameer menjerit. Lengannya digosok-gosok.

“Kenapa cubit Han pulak ni?” perit akibat dicubit oleh Sara. Baharu je tadi kata nak taat pada suami. Ameer tayang muka tidak puas hati.

“Sebab Han tanya soalan tu. Of course I’m real. Blood and flesh. I’m not your dream sayang. And I really love you. Sara sayang Han tanpa syarat tau. Dah lupa ke?”

Dan disebabkan itu Sara kehairanan apabila Ameer hanya duduk termenung di atas sejadah tersebut selepas menghabiskan bacaannya. Lama tidak berganjak-ganjak. Eh! Kenapa pula husband termenung ni? Dengan susah payah Sara turun daripada katil sambil memegang perut lalu menyentuh bahu lelaki itu.

Ameer mendongak. Satu senyuman tidak sampai ke mata diberikan. Tangan isterinya itu dicapai dan menarik Sara untuk duduk di sisinya.

“Han ganggu tidur wife ke?”

Sara hanya menggeleng. Sudah terbiasa.

“Tapi kenapa Han tak kejutkan Sara! Boleh kita solat sama-sama.” Sedikit terkilan kerana tidak dapat berjemaah dengan lelaki ini.

Ameer menanggalkan songkoknya dan diletakkan di sisi sebelum menjawab. Rambutnya yang sedikit lembab itu dikuak ke atas dengan jemarinya.

Wife lena betul tadi. Han dah kejut banyak kali, tapi wife tak sedar pun. Tidur mati!” tukas Ameer. Namun dia tidak marah.

“Ohh… ingatkan Han tak kejut tadi. Sorry.” Sara hanya mampu tersenyum. Tahu… kalau dia dah dapat tidur susah hendak dikejutkan. Mujurlah dapat suami penyabar seperti Ameer ni.

Husband okey ke? Ada apa-apa nak share dengan Sara?”

“Kenapa tanya macam tu? Han tak apa-apalah!” Ameer mengelak daripada bercerita. Juga mengelak daripada memandang mata isterinya itu.

“Tu… dengus nafas macam naga tu. Mata tengok lain. Masih nak kata tak ada apa-apa. Muka monyok macam ni, masih nak sorok-sorok lagi daripada Sara!”

Aduh! Bagaimana mungkin dia bercerita. Bimbang pula mendatangkan rasa syak wasangka Sara pula nanti. Sara ni pandai sahaja dia membaca riak muka aku ni. Tak boleh nak sorok langsung. Siap kata ada nafas naga pula. Ingat ini cerita Merlin ke?

Ameer tersenyum. Entahlah. Belum mahu bercerita lagi rasanya. Akhirnya dia merebahkan kepalanya di ribaan Sara. Mengiring menghadap perut Sara yang sudah serupa gunung itu. Mengelus perlahan perut tersebut. Sara hanya membiarkan sahaja tindakan suaminya. Dia tahu Ameer akan bercerita apabila dia bersedia.

Wife?...” panggil Ameer. Perlahan suara itu. Dia mendongak memandang Sara yang tunduk memandangnya dengan kasih. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas dada.

Hmm…” Sara tunggu namun itu sahajalah yang keluar daripada mulut Ameer.

“Han…” satu patah kata lagi.

“Kenapa ni? Han susah hati ya?” Sara membelai rambut lelaki itu. Mata Ameer mahu bercerita, tapi mulutnya terkunci.

“…take your time dear. Take your time. I’ll be here.” Sambung Sara lagi apabila Ameer tidak bersuara. Hanya merenungnya. Satu senyuman diberikan pada Ameer yang benar-benar nampak susah hati itu. Ya Tuhanku, ringankanlah apa juga beban di hati suamiku ini.

Ameer menghela nafas panjang. “Malam tadi ada orang called…

“Okey.” Jawab Sara.

“…dia nak jumpa dengan Han!”

“Okey… pergilah jumpa. Apa masalahnya sampai Han jadi macam ni…hmm!” Sara menepuk-nepuk tangan Ameer. Nak mintak kebenaran aku ke ni? Alahai! Nak jumpa kawan pun sampai macam ni sekali. Pelik juga. Ini kawan yang dia tak kenal ke?

“Dia tu… perempuan.” Terhenti tangan Sara yang sedang menepuk tangannya.

Terangkat sebelah kening Sara dibuatnya.

“Okeyyy…” meleret jawapan Sara. Ada sesuatukah yang dia tak tahu ni?

Ameer tarik nafas lagi. Okey je Sara jawab. Tak rasa apa-apa ke? Aku ni dah rasa separuh nyawa fikir bagaimana nak bagitahu dia. Boleh dia jawab macam tu je. Ameer mendengus. Daripada rasa susah hati dia rasa nak marah pula.

She wants me back!” terang Ameer lagi.

“Ohh… then?” terkejut sedikit.

“Sara boleh sensitif sikit tak? Jawab macam tu, macam tak ada perasaan je.” Ameer bingkas bangun. Marah dengan respon isterinya itu. Bersila menghadap Sara.

Sudah! Ameer dah gunakan nama dia. Dia nak aku buat apa? Meraung? Menangis keluar air mata darah?

“Han nak Sara respon macam mana?” akhirnya Sara tanya soalan itu. Sungguh dia tidak tahu.

“Apa-apa ajelah!...” Ameer mula merungut.

“…Macam jangan jumpa dia ke? Kenapa dia nak jumpa dengan Han ke? Atau Sara boleh kata Sara jeles ke? Ni tak… Sara boleh cakap okey je.” Terkebil-kebil Sara dibuatnya. Kena marahlah pulak. Tak bagi reaksi sepatutnya pun kena marah jugak.

“… Sara boleh jugak cakap, yang kenapa buat macam ni. You know…that kind of reaction… tak sayang pada Han ke?” Ameer pandang dia sekejap dengan tajam, kemudian dia tunduk.

Eh… eh boleh pulak macam tu. Susah hati fasal aku rupanya. Dan ayat terakhir Ameer benar-benar mengundang rasa. Kenapa Ameer masih rasa tidak yakin dengan cintanya. Dengan kasih sayang.

Okey…” Sara jawab okey lagi. Ameer pandang dengan tajam. Geram pula mendengar perkataan itu.

Hmm… Han pulak rasa macam mana? Kat sini rasa macam mana? Dia cakap apa? Dia sebut nama siapa? Siapa yang ada kat dalam ni?” dengan telunjuk kanan Sara sentuh dada kiri Ameer. Ha… nak sangat dia respon kan?

“…Husband masih ragu-ragu dengan hati Sara ni?” soalah penyudah daripada Sara.

Pergelangan tangan Sara dipegang dengan kedua-dua tangan.

Ameer sekadar geleng. Tidak pernah meragui ketulusan hati isterinya itu. Hatinya penuh dengan cinta Sara. Tak boleh di isi sudah.

You love me, don’t you?” Sara buat muka ingin tahu.

Ameer angguk. Gilalah dia kalau tak sayang perempuan seperti Sara. Bukan senang nak dapat.

“Mestilah Han sayang!”

“Dah tu…yang tanya soalan pelik-pelik macam tu kenapa?”

“Tak lah… Cuma your reaction tu je yang buatkan Han tertanya-tanya. Kalau perempuan lain tentu Han dah kena tidur dekat luar!”

Hmm…” Sara melepaskan nafas panjang. Ameer masih belum faham lagi rupa-rupanya sikap Sara.

“…Kan Sara dah cakap. Sara ni susah nak cemburu. Lainlah kalau orang tu tak nak kat kita ni kan?”

“Habis wife bagilah kalau Han jumpa dengan dia? Dia merayu-rayu nakkan Han balik tau!” Ameer bersuara lagi.

“Amboi! Ni nak mengambil kesempatan ke apa?” ni betul nak bagi dia cemburu agaknya. Tahulah dulu tunang bersusun.

“Jom temankan Han jumpa dia.” Ajak Ameer.

“Tak mahulah! Buang masa je.” Sara tarik tangan daripada genggaman Ameer. Dia bangun. Menuju ke tempat tuala di sidai. Tak mahu tahu pertemuan ‘dia’ dan Ameer.

“Bila masa Han bagi pilihan. Ini arahan tau. Tak kira, wife kena ikut jugak!” bentak Ameer. Mengekori langkah isterinya itu.

“Tak nakkkk…”

“Han tak nak buang masa kena bercerita dengan Sara nanti. Bukan Han tak tau, nanti macam-macam soalan wife tanya. Tak kira… ikut Han jugak!”

Sara berpusing pandang Ameer. Mendongak Sara dibuatnya dek kerana jarak Ameer yang terlalu dekat.

Isy! Suka paksa orang!... Sara tak naklah! Sara nak rehat kat rumah je! Apa susah… nanti Han rakam je lah perbualan tu.” Mudahnya Sara memberi cadangan.

“Haih!” Ameer mengeluh. Degil betul Sara ni. Tapi dia tetap mahu Sara ikut.

“…okey…tapi dengan satu syarat!” Ada satu senyuman terukir.

Syarat lagi?

“…kalahkan Han…dalam staring contest.” Sara tak pernah menang kalau lawan mata dengan dia. Cepat sahaja dia kelip mata. Kali ini pun dia yakin Sara akan kalah.

“Heh! Mana aci macam tu!” pandai nak buatkan Sara terpaksa ikut dia.

“Ha… wife kalah!” teriak Ameer apabila Sara kelip mata.

“Hei…belum mula lagilah. Sara tak sedia lagi ni…Okey…mula sekarang!”

Sesaat. Dua saat. Hmm…ada kemajuan nampaknya. Senyuman menapak di bibir Ameer. Selalu tu sekejap sahaja dah kalah. Ameer jungkit sebelah kening. Sara pun buat sama.

Sepuluh saat berlalu, Sara mula rasa mata dah pedih. Tapi dia tak nak mengalah. Dia memang tak nak ikut Ameer berjumpa dengan ‘dia’. Tak kuasa.

Give up jelah yang!” cabar Ameer. Nampak sangat nak kelip mata.

“Han… ouch!!!” tiba-tiba wajah Sara berkerut. Tapi tak kelip mata. Lengan Ameer dipegang. Sebelah tangan pegang perut.

Terus Ameer kelip mata. Berubah wajahnya. Tak kan dah sampai masa kut? Lagi dua bulan kan?

“Sakit ke? Dah sampai masa dah?”

Jawapan Sara hanya ketawa. Yes! Aku menang.

“Tak…Cuma nak beritahu Han yang anak kita menendang!”

“Sara…itu tak kelakar okey!” tapi tangan sudah diletakkan di atas perutnya. Masih terasa lagi gerakan itu.

I didn’t say it was!

Ameer sudah bercakap-cakap dengan anak-anaknya yang masih belum lahir. Sara hanya tersenyum. Ameer sudah terlupa dengan pertandingan mereka tadi.

“Han?” panggil Sara.

“Apa?” daripada melutut dia bangun menghadap isterinya yang sudah senyum sampai ke telinga.

“Sara menang!” perlahan suara Sara menyatakan kegembiraan itu. Dan dia berlalu ke bilik air meninggalkan Ameer yang terpinga-pinga seketika. Terdengar tawa Sara yang kuat dari dalam bilik air tersebut.

“Sara!...” bergegas Ameer mengetuk pintu bilik air yang sudah dikunci dari dalam. Dia tertipu. Berdentum dentam pintu tersebut diketuknya sambil Ameer mengeluarkan semua amaran kepada Sara. Menyatakan akibat daripada perbuatannya itu.

Sara hanya ketawa dan suara nyanyiannya mula bergema.

Haih! Tak makan saman betul! Ameer lepas nafas. Dia bersandar di muka tepi pintu sambil peluk tubuh. Mendengar suara isterinya yang bercampur dengan curahan air mandi. Menjadi muzik seawal hening pagi.

Dia hanya mampu menggeleng. Senyum dan nikmati sahaja suara merdu Sara.

Ya…dia tahu dia kalah!